GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hamzah Osman


Langkawi: Pengusaha hotel di pulau ini yang kehilangan pendapatan lebih setahun setengah susulan penutupan sektor pelancongan akibat Covid-19, kini mula tersenyum lebar apabila Langkawi bakal dibuka kepada pelancong 16 September ini.

Mereka mula menerima tempahan sejurus Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) gelembung pelancongan Khamis lalu.

Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah/Perlis, Razmi Rahmat berkata, hotel-hotel yang bernaung bawah MAH mula menerima tempahan antara 20 hingga 50 peratus.

"Difahamkan beberapa hotel lima bintang yang letaknya berhampiran Pantai Kok, Datai, Chenang dan Penarak sudah menerima tempahan lebih 50 peratus sejak Khamis lalu.

"Bagaimanapun hotel-hotel berstatus tiga bintang menerima kadar tempahan sekitar 20 peratus," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Razmi berkata, peningkatan tempahan hotel lima bintang kerana rakyat 'golongan atasan' yang tidak dapat bercuti di luar negara mengambil peluang untuk bercuti di Langkawi.

"Sebaliknya hotel tiga bintang menjadi pilihan golongan pertengahan dan mereka ini bersikap berhati-hati berikutan catatan harian kes Covid-19 di Langkawi masih berada di sekitar dua angka.

"Ada yang bercuti bersama keluarga dengan menggunakan kereta sendiri dan feri untuk ke Langkawi, jadi kena fikir banyak kali kerana jeti Kuala Kedah masih menjadi sebahagian lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 19 September ini," katanya.

Menurutnya, tempahan hotel di Langkawi membabitkan individu dan kumpulan dijangka meningkat dengan ketara menjelang pertengahan Oktober termasuk bagi penganjuran mesyuarat dan bengkel.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Langkawi, Datuk Noorazly Rosly, berkata, tempahan yang diterima 45 ahlinya ketika ini amat perlahan kerana SOP menyatakan pelancong yang menggunakan jalan darat perlu menggunakan agensi pelancongan.

"Kebiasaannya agensi pelancongan akan memilih penginapan di hotel yang ada bintang kerana komisen tinggi.

"Pada masa sama, seperti hotel lain kami juga hanya akan menerima pelancong yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 untuk menginap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 4:15 PM