KERAJAAN membatalkan ujian saringan Covid-19 bagi pelancong ke Langkawi yang berkuat kuasa semalam. FOTO Arkib NSTP
KERAJAAN membatalkan ujian saringan Covid-19 bagi pelancong ke Langkawi yang berkuat kuasa semalam. FOTO Arkib NSTP
Hamzah Osman

Langkawi: Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) tidak bersetuju langkah kerajaan membatalkan ujian saringan Covid-19 bagi pelancong ke Langkawi yang berkuat kuasa semalam.

Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) MyBHA, Datuk Norazly Rosly berkata, ujian pengesanan itu dilihat masih perlu bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19 di pulau pelancongan itu.

"Kami berpendapat, kejayaan gelembung pelancongan Langkawi yang bermula 16 September lalu adalah disebabkan kewajiban ujian pengesanan Covid-19.

"Justeru, kami tidak bersetuju langkah pembatalan keperluan ujian itu seperti terkandung dalam kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dilaporkan media semalam," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Norazly berkata, pihaknya risau dengan perkembangan terbaharu itu kerana semua pihak sepatutnya perlu memastikan tahap keyakinan orang ramai sentiasa berada pada tahap tertinggi.

Beliau berkata, pembatalan itu akan menyebabkan tahap keyakinan orang ramai melancong ke Langkawi akan menurun.

Menurutnya, kerajaan perlu mengambil langkah bertanggungjawab dengan memastikan pelancong ke Langkawi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk melakukan ujian saringan Covid-19.

Semalam, media melaporkan KKM membuat keputusan menghentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 sebelum pelancong masuk ke Pulau Langkawi.

Ketika projek rintis gelembung pelancongan Langkawi bermula 16 September lalu, semua pelancong diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan ke pulau itu sama ada menerusi pintu masuk udara atau air.

Ujian pengesanan sama ada secara RT-PCR atau RTK-Antigen itu perlu dilakukan di mana-mana fasiliti kesihatan serta makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 7:01 PM