Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Golongan penjaja buah-buahan bermusim seperti durian boleh berniaga sepanjang sekatan pergerakan penuh (SPP) dengan mempamerkan permit tetap atau sementara dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, penjaja buah-buahan mendapat kebenaran daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk berniaga sepanjang tempoh SPP sehingga 14 Jun ini.

Beliau berkata, golongan itu tidak perlu memohon kelulusan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0, sebaliknya hanya perlu mempamerkan permit perniagaan sama ada tetap atau sementara.

"Kita faham dilema dihadapi peniaga kerana musim durian sudah bermula. Saya banyak menerima pertanyaan peniaga mengenai perkara ini, sama ada boleh berniaga atau tidak dan mereka bimbang kerugian dialami.

"Kita tahu buah-buahan ini tidak tahan lama dan mereka diberi kebenaran oleh KPKT untuk berniaga supaya tiada yang terkesan selain mengelak lambakan hasil tanaman berkenaan.

"Kebenaran itu terpakai untuk penjaja kecil lain. Bagaimanapun, mereka diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan Gerobok Prihatin di Masjid Ajil, di sini, semalam.

Menurutnya, Pejabat Parlimen Hulu Terengganu memperuntukkan RM93,000 nilai bantuan barangan makanan asas yang diagihkan kepada 93 masjid di seluruh daerah itu.

Terdahulu, peniaga durian di Pulau Pinang mendakwa kerugian puluhan ribu ringgit kerana pihak PBT tidak membenarkan mereka berniaga semasa tempoh PKP 3.0 yang berkuat kuasa baru-baru ini.

GAMBAR hiasan. FOTO Zuhainy Zulkiffli
GAMBAR hiasan. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 11:33 AM