GAMBAR hiasan. FOTO Saifullizan Tamadi
GAMBAR hiasan. FOTO Saifullizan Tamadi
Nazri Abu Bakar


KERAJAAN Melaka memberi kelonggaran kepada penjaja dan peniaga kecil untuk menjalankan perniagaan terhad di kawasan rumah masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali berkata, dengan mengambil kira nasib golongan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19, kerajaan negeri membuat keputusan memberi kelonggaran terbabit.

Bagaimanapun, ianya masih tertakluk kepada syarat ketat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan masing-masing.

"Perlu diingatkan, kelonggaran diberikan boleh ditarik balik serta-merta jika penjaja dan peniaga tidak mematuhi atau melanggar syarat ketat dan SOP ditetapkan.

"Kerajaan negeri berharap kelonggaran kebenaran yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan peniaga dan penjaja kecil memperoleh pendapatan untuk kegunaan pada Ramadan dan persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, kerajaan negeri juga akan mematuhi sepenuhnya pembukaan semua sektor dan subsektor ekonomi yang diberikan kebenaran untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, semua sektor dan subsektor ekonomi itu perlu mematuhi semua syarat ketat SOP ditetapkan.

Menurutnya, bagi sektor makanan (perniagaan berpremis) iaitu restoran, medan selera/medan penjaja, gerai makan tepi jalan berbumbung/kios dan sektor makanan (perniagaan/penjajaan tanpa premis) seperti kenderaan saji, penjaja beredar dan penjaja tepi jalan sementara hanya untuk perkhidmatan bawa pulang (take away) dan penghantaran, manakala kebenaran makan dalam premis tidak dibenarkan.

Beliau berkata, tindakan terbabit dibuat berdasarkan syarat lesen perniagaan yang ditetapkan oleh PBT dengan waktu operasi yang dibenarkan sehingga 9 malam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 11:58 PM