Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin.
Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin.
Nur Izzati Mohamad


PULAU Pinang masih tidak membenarkan pengurusan masjid dan surau di negeri itu mengadakan solat Jumaat serta berjemaah kerana perbincangan berhubung prosedur operasi standard (SOP) masih belum selesai.

Berikutan itu, kesemua kariah perlu mematuhi dan mengikut panduan lama yang dikuatkuasakan sebelum ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, kebenaran untuk memberi mana-mana masjid dan surau mengadakan solat Jumaat serta berjemaah akan diputuskan dalam tempoh beberapa sahaja hari lagi.

"Pihak jawatankuasa memerlukan masa kerana terkini kami sedang meneliti dan membincangkan SOP dengan mengkaji masjid dan surau yang mana sesuai untuk dipilih melaksanakan solat Jumaat serta berjemaah ini.

"Ia bukan mudah kerana perlu berhati-hati walaupun Pulau Pinang berada pada zon hijau," katanya ketika dihubungi di Georgetown hari ini.

Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata, segala tatacara SOP berhubung perkara itu mengikut garis panduan yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan semua masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di zon hijau di Wilayah Persekutuan boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih serta solat sunat Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Zulkifli dilaporkan berkata, solat lain secara berjemaah boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula selepas solat Jumaat esok berdasarkan cadangan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5.

Bagaimanapun, beliau berkata, bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah adalah tidak kurang daripada tiga orang, tidak termasuk imam dan tidak lebih daripada 30 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 6:35 PM