GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membenarkan solat fardu berjemaah di semua masjid dan surau di negeri itu dengan menetapkan beberapa garis panduan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah JHEAIPP, Zulkifli Long berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan Masjid dan Hal Ehwal Kariah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang pada 14 Mei lalu.

"Kebenaran solat berjemaah bagi solat fardu lima waktu adalah terhad kepada tiga orang iaitu imam, bilal dan siak bertugas sahaja dan masih tertakluk kepada pekeliling jabatan bertarikh 21 April," katanya dalam kenyataannya di Georgetown, hari ini.

Zulkifli berkata, solat sunat tarawih dan Aidilfitri serta lain-lain aktiviti berkaitan termasuk ceramah serta tazkirah ditangguhkan sehingga arahan baharu dikeluarkan oleh JHEAIPP.

"Bagi tujuan syiar Islam sempena sambutan Hari Raya, semua masjid dan surau dibenarkan untuk melaungkan takbir oleh pegawai masjid (imam dan bilal) dan siak bertugas atau memasang rakaman bermula selepas solat Isyak hingga 9.30 malam pada malam Hari Raya," katanya.

Menurutnya, arahan pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau itu akan dikeluarkan dari semasa ke semasa dan secara berperingkat tertakluk kepada perkembangan situasi COVID-19 dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pada 15 Mei lepas, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mengumumkan pelaksanaan solat Jumaat dibenarkan di negeri itu bermula Jumaat ini, dengan bilangan jemaah terhad antara 12 dan 15 orang sahaja pada satu-satu masa terdiri daripada pegawai dan ahli jawatankuasa kariah serta siak di masjid atau surau.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 11:46 PM