Zatul Iffah Zolkiply

TIGA kaki judi sanggup menggadai nyawa dengan terjun ke dalam laut bagi mengelak dicekup dalam serbuan di sebuah pondok di Kuala Paka, Dungun, semalam.

Dalam kejadian pada 1.05 tengah hari itu, mereka bersama beberapa rakannya asyik bermain mahjong dan dam aji di kawasan berkenaan.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Adnan Abdullah berkata, kumpulan berkenaan yang menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa syariah segera melarikan diri termasuk ada yang terjun ke dalam laut.

Katanya, tindakan mereka menyebabkan penguat kuasa syariah menghubungi bomba bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

 PERALATAN judi yang dirampas dalam serbuan di sebuah pondok di Kuala Paka, Dungun. FOTO Ihsan JHEAT
PERALATAN judi yang dirampas dalam serbuan di sebuah pondok di Kuala Paka, Dungun. FOTO Ihsan JHEAT

"Kita berjaya menahan dua daripada tiga lelaki yang terjun ke dalam laut manakala lelaki yang berusia 50-an berjaya melarikan diri.

"Selain dua lelaki terbabit, tujuh lagi lelaki berusia 20 hingga 60-an turut ditahan, dan dibawa Pejabat Agama Daerah Dungun untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Adnan berkata, turut dirampas sejumlah wang tunai dan set permainan judi yang digunakan untuk aktiviti judi berkenaan.

"Sembilan lelaki ini ditahan mengikut Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berjudi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 1:59 PM