Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar (tengah) melancarkan dana al-Quran  di Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO Ihsan JAWI
Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar (tengah) melancarkan dana al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO Ihsan JAWI
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyasarkan kutipan dana berjumlah RM700,000 bagi membeli sekurang-kurangnya 10,000 naskhah al-Quran bagi program sumbangan dana dan waqaf kepada masjid, surau Jumaat, surau sekolah yang terkesan dengan banjir di Wilayah Persekutuan.

Melalui kenyataan media di keluarkan JAWI tadi, sebanyak RM 170,000 sumbangan sudah diterima daripada beberapa pihak seperti Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group Berhad, Masjid Jamek Kampung Baru, Pusat Pungutan Zakat dan Wakalah Zakat MAIWP, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, inisiatif ini dilaksanakan susulan terdapat banyak al-Quran yang rosak dan musnah akibat banjir dialami individu atau institusi seperti masjid, surau dan sekolah di beberapa kawasan di seluruh negara.

Katanya, inisiatif ini juga sebagai lambang solidariti dan keprihatinan di samping menyuburkan amalan membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran dalam masyarakat.

"JAWI melalui Masjid Wilayah Persekutuan sudah menyerahkan 200 naskhah al-Quran waqaf sumbangan Nasyrul Quran kepada Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam yang terkesan akibat banjir semalam.

"Untuk rekod, JAWI melalui Pusat Pelupusan al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah Taman Selasih turut melaksanakan perkhidmatan pelupusan al-Quran akibat banjir sejak 20 Disember tahun lalu," katanya.

JAWI juga menerima sebanyak 25,354 kilogram al-Quran rosak daripada individu, sekolah, SWCorp dan beberapa pihak lain termasuk dari kawasan Hulu Langat dan Mentakab, Pahang.

Majlis pelancaran program dana al-Quran ini disempurnakan, Pengerusi Majlis Agam Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar di Masjid Wilayah Persekutuan tadi.

Turut hadir, Pengarah JAWI,Datuk Mohd Ajub Ismail.

Individu yang berminat boleh menghulurkan infaq dan sumbangan melalui kod QR yang disediakan di 89 masjid di seluruh Wilayah Persekutuan atau melalui Akaun Masjid Wilayah Persekutuan 14023010023833 (Bank Islam Malaysia Berhad) yang berlangsung selama sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 4:21 PM