Syarifah Dayana Syed Bakri


INDIVIDU yang tidak layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana mempunyai maklumat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tetapi syarikat yang dimiliki tidak aktif atau tidak mempunyai pendapatan boleh mengemukakan bukti kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seluruh negara.

Ini kerana terdapat pemohon yang gagal layak BPN atas pelbagai faktor berdasarkan kepada proses semak silang antara 10 agensi antaranya SSM, LHDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kementerian menerima pandangan orang ramai yang tidak menerima BPN di mana terdapat kemungkinan bahawa mereka yang benar-benar layak tercicir daripada menerima bantuan berkenaan.

"Terdapat segelintir individu yang hilang pekerjaan tahun ini disebabkan Covid-19 dan status terkini tidak dirakam di dalam pangkalan data.

"Ada yang data pasangan belum dikemaskini. Ada juga yang berdaftar dengan SSM atau menjadi pengarah syarikat tetapi syarikat berstatus tidak aktif atau tiada pendapatan.

"Sehubungan itu, kementerian membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh rayuan BPN sehingga 31 Mei.

"Pemohon yang tidak lulus boleh menghantar emel berserta dokumen berkenaan kepada [email protected] atau pergi ke mana-mana kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seluruh negara.

TENGKU DATUK SERI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
TENGKU DATUK SERI ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ

"Kami tidak janji semua rayuan boleh diluluskan, tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, dengan bukti dokumen yang berkaitan, Insya-Allah boleh diluluskan," katanya pada sesi pembentangan Laporan Laksana Kelima

Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) melalui siaran langsung di Facebooknya hari ini.

Katanya, secara keseluruhan, sehingga 10 Mei lalu, seramai 10.6 juta rakyat Malaysia adalah penerima BPN.

"Dengan peruntukan sebanyak RM11 bilion, iaitu tambahan RM1 billion daripada peruntukan asal RM10 bilion, komitmen kerajaan untuk membantu rakyat memang tidak berbelah bahagi," katanya.

Menurutnya, antara 4 hingga 10 Mei lalu, bayaran fasa kedua sudah bermula membabitkan 5.79 juta penerima dengan jumlah RM2.63 bilion.

"Bayaran fasa kedua akan diteruskan pada minggu ini. Bagi mereka yang tiada akaun bank atau berstatus Gagal Kredit, penerimaan bayaran secara tunai akan boleh dibuat daripada BSN mulai 14 Mei.

"Ini dianggarkan akan membabitkan 800,000 penerima dengan peruntukan RM300 juta," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya daripada 8.3 juta penerima yang diluluskan, pencapaian pembayaran fasa pertama adalah pada kadar 96 peratus manakala, fasa kedua yang sedang berjalan ini di tahap 49 peratus.

"Saya juga mengingatkan pegawai kementerian agar memastikan pembayaran disampaikan dengan secepat mungkin dan bayaran dijangka disempurnakan menjelang hujung minggu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 4:12 PM