GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Syarifah Dayana Syed Bakri


RAYUAN untuk permohonan Bantuan Sara Hidup (BSH) akan dibuka mulai 7 Ogos hingga 6 September 2020 secara dalam talian di portal BSH https://bsh.hasil.gov.my.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemohon juga boleh hadir di mana-mana cawangan Lembaga hasil Dalam Negeri (LHDN) atau Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

"Sila sertakan dokumen yang berkaitan untuk diverifikasi semula oleh LHDN," katanya dalam perkongsian Laporan Laksana Ke-15 pelaksanaan Prihatin dan Penjana menerusi Facebook, hari ini.

Menurutnya, pembayaran BSH fasa ketiga sudah mula disalurkan bermula 24 Julai lalu membabitkan peruntukan hampir RM3 bilion.

"Bantuan tunai dari kerajaan itu dapat dimanfaatkan kira-kira 4.28 juta penerima BSH merangkumi 3.75 juta isi rumah dan 530,000 bujang berusia 40 hingga 59 tahun.

"Kadar BSH yang akan diterima juga mengambil kira 3.8 juta anak penerima BSH berumur 18 tahun ke bawah," katanya.

Katanya, sehingga 31 Julai 2020, untuk BSH fasa ketiga, seramai 4.13 juta penerima telah berjaya dikreditkan ke dalam akaun bank membabitkan bayaran RM 2.7 bilion.

"Penerima BSH yang diluluskan tetapi tidak dapat dikreditkan ke dalam akaun bank boleh menuntut secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN)," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, bagi komuniti yang tinggal di pedalaman, proses pengagihan bantuan memerlukan usaha yang lebih tinggi dari kebiasaan.

"Ini termasuklah menaiki bot ke pulau, perjalanan berjam-jam merentas hutan dan sebagainya oleh rakan-rakan kerja Kementerian Kewangan (MoF), BSN serta Perbendaharaan Malaysia Sabah dan Sarawak.

"Alhamdulillah, proses agihan BSH dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) secara tunai untuk lebih 50,000 penerima pedalaman Sabah dan Sarawak membabitkan 30 lokasi di Sarawak dan sembilan lokasi di Sabah telah selesai pada 31 Julai lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 2:29 PM