Sidang DUN Terengganu. FOTO ARKIB NSTP
Sidang DUN Terengganu. FOTO ARKIB NSTP
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Semua 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri (Exco) dinasihatkan tidak keluar negeri dalam tempoh 14 hari sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula Isnin depan.

Yang Dipertua Dewan Undangan negeri (DUN), Datuk Yahaya Ali berkata, surat peringatan dan nasihat kepada semua Adun termasuk Exco sudah dihantar sejak minggu lalu.

Katanya, peringatan itu dikeluarkan untuk memastikan mereka bebas bebas daripada dijangkiti Covid-19 dan dapat mengikuti persidangan DUN yang diadakan selama tiga hari.

"Semua Adun termasuk Exco kerajaan negeri akan melalui proses ujian kesihatan menggunakan kit ujian kendiri Covid-19, sebelum memasuki dewan persidangan.

"Persidangan DUN hanya diadakan separuh hari iaitu bermula 9.30 pagi hingga 1 tengah hari dan hanya membabitkan Adun dan petugas dewan," katanya pada sidang media secara dalam talian, hari ini.

Yahaya berkata, tiada majlis perasmian seperti kebiasaannya oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin atas nasihat dan pandangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, titah Sultan Mizan akan disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada hari pertama sidang.

Katanya, walaupun Terengganu kini berada dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), tetapi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN dan KKM tetap diutamakan.

"Semua Adun dan petugas dewan dikehendaki menjalani ujian kesihatan menggunakan kit ujian kendiri Covid-19, sebelum dibenarkan memasuki dewan persidangan.

"Kita juga mengambil kira kemungkinan penularan varian Delta dan Beta yang mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi, sekali gus memutuskan untuk mengehadkan kehadiran," katanya.

Menurutnya, hanya Adun, Exco dan petugas dewan yang sudah lengkap dua dos suntikan dibenarkan hadir ke persidangan DUN.

Katanya, mereka yang disahkan negatif dibenarkan hadir, tetapi perlu menjalani proses ujian pengesanan Covid-19 setiap hari sepanjang persidangan DUN berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 2:57 PM