GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Daerah Sibu dan Kuching bertukar daripada status zon jingga ke zon merah Covid-19, hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya berkata, ia berikutan sebanyak 44 kes jangkitan tempatan dilaporkan di daerah Sibu dan 41 kes di daerah Kuching dalam tempoh 14 hari lalu.

Katanya, daerah Selangau dan Sebauh pula bertukar status hijau ke status kuning apabila masing-masing mencatatkan satu kes positif Covid-19 jangkitan tempatan.

"Daerah Samarahan, Miri, Sibu, Bintulu, Meradong, Bukit Mabong dan Sri Aman kekal berstatus kuning dengan jumlah keseluruhan 20 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lalu.

"Sebanyak 30 buah daerah lain di Sarawak pula masih kekal berstatus hijau," kata kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, menurut kenyataan itu, Sarawak merekodkan 24 kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes setakat ini sebanyak 1,275.

Tujuh daripada jangkitan baharu itu dikesan di Kuching, manakala Miri dan Sibu masing-masing lima, Sri Aman (2), manakala Bintulu, Samarahan, Sebauh, Selangau dan Serian masing-masing satu kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 7:51 PM