Ruwaida Md Zain


Klang: Empat Sekatan Jalan Raya (SJR) statik dan lebih 10 SJR mobile didirikan di kawasan Klang Selatan dan Klang Utara berkuat kuasa sepanjang tempoh 14 hari sekatan pergerakan penuh fasa pertama ini hingga 14 Jun depan.

Selain itu, tiga jalan utama yang menghubungkan kawasan pentadbiran Klang Selatan dan Utara ditutup sepenuhnya iaitu Jambatan Musaeddin di Jalan Tengku Kelana, Jambatan Raja Muda Nala dan Jambatan Besi (Pengkalan Batu).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, bagi Daerah Klang Selatan, dua SJR statik membabitkan Persiaran Kota, Klang (susur keluar bangunan Majlis Perbandaran Klang) dan Batu 2, Jalan Langat (berhadapan Indah Water Konsortium).

"Bagi SJR mobile, terdapat 14 pasukan di 24 kawasan dalam daerah Klang Selatan.

"Pasukan Pemantauan Penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) sekatan pergerakan penuh fasa akan ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Amar berkata, IPD Klang Selatan sekitar 30 hingga 50 peratus kekuatan keseluruhan penugasan termasuk pusat kawalan, SJR statik dan mobile, pasukan pemantauan dan penguatkuasaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, dua SJR statik di Klang Utara membabitkan jalan di Plaza Tol Bukit Raja (dari arah Klang ke Shah Alam) dan Batu 13 Jalan Kapar (dari arah Kuala Selangor ke Klang).

"Sejumlah lapan pasukan di 24 kawasan dalam daerah Klang Utara bagi SJR mobile.

"Seramai 209 pegawai dan anggota IPD Klang Utara dibantu 18 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diturunkan dalam penugasan di lapangan membabitkan SJR, pemantauan SOP serta SJR mobile," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berhubung permohonan rentas negeri pula katanya, 35,924 diterima diterima dari Januari hingga Mei lalu, bagaimanapun 1,228 permohonan tidak diluluskan kerana tidak memenuhi syarat.

"Sepanjang tempoh itu juga, 1,255 kompaun dikeluarkan membabitkan perlanggaran SOP termasuk tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan sosial serta tidak mengimbas kod MySejahtera," katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Amar dan Nurulhuda juga mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP dan tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada SOP ditetapkan oleh kerajaan.

Shamsul Amar memeriksa dokumen perjalanan terhadap para pemandu yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Persiaran Kota, Klang susur keluar Bangunan MPK. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Shamsul Amar memeriksa dokumen perjalanan terhadap para pemandu yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Persiaran Kota, Klang susur keluar Bangunan MPK. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 2:46 PM