TUAN Ibrahim. FOTO Asyraf Hamzah
TUAN Ibrahim. FOTO Asyraf Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman


PIHAK industri dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdepan tindakan tegas sekiranya didapati mencemarkan alam sekitar.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya akan bertindak termasuk menutup operasi syarikat terbabit sekiranya didapati melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan semua Peraturan-Peraturan bawahnya.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap industri atau sektor yang mencemarkan alam sekitar dan pihak yang didapati tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) akan dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk tindakan lanjut termasuk penutupan operasi.

"Sejak pelaksanaan PKP hingga 24 April lalu, JAS (Jabatan Alam Sekitar) sudah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 158 premis dan individu melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk penahanan dan pergantungan lesen lima premis," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempunyai Arahan Kerja Kawalan Pencemaran semasa tempoh PKP yang dilaksanakan di setiap negeri.

Beliau berkata, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan merangkumi tiga gerak kerja khusus iaitu aspek pencegahan, siasatan ke atas aduan dan amaran daripada sistem Program Pengawasan Kualiti Alam Sekeliling (EQMP) serta mengadakan rondaan atau pemeriksaan mengejut terutama di premis di kawasan berisiko pencemaran.

"Selain itu, rondaan turut diadakan di premis di hulu takat pengambilan air serta kawasan mudah terbakar seperti tanah gambut dan tapak pelupusan sampah.

"Kami turut menggunakan teknologi termasuk dron bagi tujuan pemantauan udara (aerial surveillance) untuk memantau dan mengesan sebarang isu pencemaran alam sekitar di kawasan berkaitan. Pasukan tindakan khas JAS ini sentiasa memantau dan siapsiaga secara 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 2:25 PM