GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR Hiasan. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad

TIGA kumpulan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kumpulan pertama membabitkan 371 rakyat Malaysia dari Mesir tiba pada 5.25 pagi menaiki pesawat kelolaan Zara Zakiah Sdn Bhd atas pembiayaan sendiri.

Menurut beliau, penerbangan kedua membabitkan 91 rakyat Malaysia yang terkandas di Riyadh, Arab Saudi selamat tiba di tanah air pada 1.05 tengah hari dengan menaiki pesawat Malindo Air.

Katanya, 312 rakyat Malaysia yang terkandas di Afrika Utara juga selamat tiba di KLIA pada 1.40 petang menaiki pesawat sewa khas Air Asia X.

"Kumpulan rakyat Malaysia yang pulang dari Afrika Utara itu adalah yang terkandas di Algeria, Tunisia dan Maghribi," katanya melalui kenyataan akhbar, hari ini.

Rakyat Malaysia dari Maghribi yang mengikuti penerbangan pulang itu telah diterbangkan khas dari Maghribi ke Algeria untuk turut serta dalam misi repatriasi itu.

Kerajaan Malaysia turut membantu memudah cara kepulangan warga beberapa negara asing bagi memberi kebenaran menaiki pesawat sama dalam misi menyelamat itu.

Kumpulan rakyat Malaysia yang pulang dari Afrika Utara itu terdiri dari yang terkandas di Algeria (262), Maghribi (24) dan Tunisia (26).

Manakala, warga asing yang menyertai penerbangan itu terdiri daripada warga Indonesia (17), Singapura (6), Jepun (9 ) dan Korea (2) yang kesemuanya dijadualkan pulang ke negara masing-masing setibanya di Malaysia.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Wisma Putra berkata, kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Algeria, Tunisia dan Maghribi atas bantuan yang dihulurkan bagi menjayakan misi membawa pulang rakyat itu.

Menurut beliau, sebahagian kumpulan rakyat Malaysia itu sebelum ini pulang ke tanah air dengan bantuan kemanusiaan Singapore Airlines yang dihantar kerajaan Singapura bagi membawa pulang warganya dari Arab Saudi.

"Kejayaan membawa pulang kumpulan rakyat Malaysia itu melambangkan kerjasama erat di antara kerajaan Malaysia dengan Singapura, saya merakamkan penghargaan kerana bermurah hati membantu membawa pulang rakyat kita," katanya.

"Konsulat Malaysia di Riyadh dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah akan meneruskan pemantauan situasi semasa dan bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia selanjutnya ke tanah air," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 9:00 PM