FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hamzah Osman


HELAH lelaki menolak motosikal di tepi jalan gagal mengaburi polis apabila ditahan di Kampung Kelibang, Langkawi semalam selepas polis mendapati kenderaan itu adalah hasil curi.

Lelaki berusia 30 tahun ditahan sepasukan tujuh anggota polis yang sedang melakukan meronda memantau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis mengesan suspek yang menolak motosikal dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang berhampiran sebuah kedai menjual makanan haiwan di Jalan Kelibang pada Isnin lalu.

"Siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang penganggur memiliki lima rekod jenayah lampau termasuk dua berkaitan dadah," katanya ketika dihubungi.

Mohd Iqbal berkata, pihaknya turut merampas motosikal itu sebagai bahan bukti siasatan.

"Suspek mengaku melakukan jenayah itu dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.

"Jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 8:51 PM