Mar Daing Matrok (baju merah) bersama penduduk menyediakan kurma dan coklat untuk diagihkan kepada penduduk  Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Baru. FOTO Ihsan Mar Daing Matrok
Mar Daing Matrok (baju merah) bersama penduduk menyediakan kurma dan coklat untuk diagihkan kepada penduduk Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Baru. FOTO Ihsan Mar Daing Matrok
Muhaamad Hafis Nawawi


PENDUDUK Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Baru mengambil inisiatif sendiri menyediakan kurma dan coklat sebelum diserahkan kepada 286 keluarga di situ sebagai persiapan menyambut Ramadan selepas mereka perlu dikuarantin bagi mencegah penularan Covid-19.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mar Daing Matrok berkata, kurma itu dibeli hasil kutipan penduduk manakala coklat itu sumbangan dari sebuah syarikat coklat yang juga majikan kepada salah seorang penduduk di situ.

Menurutnya, pihaknya sudah mengedarkan kurma dan coklat itu kepada penduduk semalam.

“Selain itu, kami juga sedang mencari dana untuk membuat bubur lambuk sepanjang Ramadan ini untuk diagihkan kepada penduduk di sini yang terpaksa berkuarantin di dalam rumah.

“Kami sudah meminta kebenaran dan hanya dibenarkan tiga orang sahaja untuk menyediakan bubur lambuk dan perlu mengikut SOP (prosedur standard operasi) itu manakala yang lain boleh membantu menyediakan bahan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkembangan saringan Covid-19, Mar berkata, hari ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak datang kerana sudah membuat saringan semalam kerana masih ada yang tercicir sebelum ini dan belum menjalani saringan itu.

“Saya juga sudah disaring buat kali kedua dan perlu dikuarantin tujuh hari lagi.

“Ada juga keluarga lain yang tamat kuarantin malam tadi dan dibenarkan bergerak namun masih dihadkan sekadar untuk beli barang dan mengeluarkan wang di mesin pengeluaran automatik (ATM),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 2:37 PM