Noorazura Abdul Rahman


SAMBUTAN Ramadan bagi penduduk di Kampung Pulau Timbul di Kubang Pasu sepi apabila tradisi memasak bubur lambuk dan air halia yang menjadi warisan sejak 200 tahun lalu terpaksa dibatalkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tukang masak, Che Ahmad Abdul Hamid, 63, mengakui sedikit terkilan kerana tidak dapat menyediakan menu berkenaan kepada penduduk setempat selepas 22 tahun mewarisi kerja itu.

Menurutnya, dia pastinya akan sibuk membuat persiapan bagi menyediakan bahan memasak termasuk mengumpul dana daripada individu tertentu setiap tahun menjelang Ramadan.

"Resipi menyediakan hidangan ini diperturunkan nenek moyang kami yang berasal dari India, sehingga kini saya masih menyediakan air halia menggunakan periuk tembaga yang disimpan sejak turun-temurun.

"Periuk tembaga ini dipercayai dibawa oleh pedagang India dulu, merekalah yang membawa resipi yang saya masak sekarang, saya sendiri masih mengekalkan cara masak secara tradisional termasuklah menggunakan kayu api," katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Timbul hari ini.

Bercerita lanjut, bapa kepada lima orang anak ini berkata, dia pasti akan merindui suasana menyediakan menu berkenaan berikutan perlu memasak di atas tempat khas yang di bawahnya unggun api.

Katanya, dia tidak kisah melakukan tanggungjawab itu berikutan segala penat lelahnya akan berbaloi apabila melihat orang ramai berpusu-pusu mahu mengambil makanan itu.

CHE Ahmad menyimpan periuk tembaga yang digunakan untuk memasak air halia pada Ramadan di Masjid Kampung Pulau Timbul, Jitra. FOTO Amran Hamid
CHE Ahmad menyimpan periuk tembaga yang digunakan untuk memasak air halia pada Ramadan di Masjid Kampung Pulau Timbul, Jitra. FOTO Amran Hamid

"Saya akan mula masak pada 2 petang dan seawal 3 petang orang ramai sudah mula beratur, mereka merupakan 'pelanggan' tetap kami dan ada yang datang dari Padang Terap, Alor Setar dan Perlis semata-mata untuk mengambil bubur lambuk dan air halia.

"Saya menggunakan 15 kilogram (kg) beras bagi memasak satu kawah bubur lambuk, manakala sebanyak dua kg halia akan digunakan bagi menyediakan air halia yang akan dicampur dengan beberapa jenis rempah lagi," katanya yang sering menyediakan menu itu untuk 500 orang.

Che Ahmad atau lebih dikenali sebagai Che Mad air halia berkata, dia bercadang untuk menyediakan bubur lambuk dan air halia selepas Aidilfitri nanti bagi menghilangkan rasa kempunan penduduk kampung yang tidak dapat menikmati menu berkenaan sepanjang Ramadan tahun ini.

Bagi Habibah Ahmad, 68, dia merasa sedih berikutan Ramadan ini akan menjadi sejarah dalam hidupnya apabila buat pertama kali tidak dapat menikmati bubur lambuk dan air halia warisan kampung itu.

"Semoga tahun depan tradisi ini akan kembali, bubur lambuk dan air halia yang disediakan Che Mad sangat istimewa dan dia berjaya mengekalkan rasa orang tua-tua dahulu masak," katanya yang tinggal bersebelahan dengan masjid kampung itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 4:33 PM