Pelajar Madrasah Alyamani mengaji Al-Quran.
Pelajar Madrasah Alyamani mengaji Al-Quran.
Muhaamad Hafis Nawawi


"SEBELUM ini sepanjang Ramadan, pelajar Madrasah Alyamani akan menghidupkan suasana Surau Al Ikhwaniah, Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Baru dengan membaca zikir Lailahaillah sebanyak 10,000 kali sehari untuk disedekahkan kepada arwah yang diniatkan namun kali ini kami terpaksa mengadakannya di rumah masing-masing dan terhad hanya 1,000 kali zikir sahaja sehari," kata Mudir Madrasah Alyamani, Ghazali Abd Qadir.

Amalan itu sudah dilaksanakan sejak sekian lama dan pelbagai aktiviti di surau itu dilakukan sejak 20 tahun lalu tetapi tahun ini mereka akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ghazali berkata, selalunya pelajar akan berkumpul dan mengadakan majlis zikir itu bersama sepanjang Ramadan namun tahun ini ia tidak dapat dilakukan dan hanya dibuat di kediaman masing-masing.

Beliau berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membenarkan lima orang sahaja mendirikan solat Tarawih di surau itu.

"Mereka yang dibenarkan itu adalah imam, dua pembantu imam dan ahli jawatankuasa (AJK) surau yang perlu bergilir-gilir mengadakan solat itu dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sementara yang lain boleh melakukannya di rumah masing-masing.

"Kita juga akan mengedarkan borang tahlil kepada penduduk dan infak Ramadan bubur lambuk jika ada penaja yang ingin menyumbang.

"Bubur lambuk ini hanya khusus untuk penduduk Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Baru," katanya.

Beliau berkata, selepas solat Maghrib akan diadakan tadarus al-Quran dan menggunakan pembesar suara supaya penduduk dapat dengar namun ketika solat Tarawih tidak akan menggunakan pembesar suara.

"Walaupun aktiviti terbatas disebabkan virus Covid-19 ini namun amalan sepanjang Ramadan dengan bertadarus, zikir dan khatam al-Quran tetap dijalankan mengikut SOP dikeluarkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 4:41 PM