GAMBAR hitam putih adalah ihsan keluarga Allahyarham Omar Manap. Gambar warna pula adalah wajah arwah yang dirakamkan pada Jun 2017 di wad Dahlia, Hospital Sultanah Aminah (HSA)  Johor Bahru. FAIL Harian Metro
GAMBAR hitam putih adalah ihsan keluarga Allahyarham Omar Manap. Gambar warna pula adalah wajah arwah yang dirakamkan pada Jun 2017 di wad Dahlia, Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru. FAIL Harian Metro
Mohd Sabran Md Sani


BEKAS pemain skuad Piala Thomos 1967, Omar Manap meninggal dunia pada usia 85 tahun, malam tadi.

Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua dan jangkitan kuman pada paru-paru, di kediamannya di Blok J 01-09, Flat Sri Stulang, Taman Sri Stulang.

Allahyarham menghembuskan nafas di sisi ahli keluarganya pada 10.20 malam, dan kematiannya disahkan paramedik KPJ Johor Bahru.

Allahyarham yang juga pesara Kastam meninggalkan isteri, Hafifah Jaafar, 78, lima anak, 16 cucu dan enam cicit.

Jenazah disolatkan di Surau Nurul Falah Sri Stulang dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh, pada kira-kira 10 pagi, hari ini.

Anak sulungnya, Abdul Rahim Omar, 59, berkata arwah bapanya pernah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

“Arwah juga pernah di masukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Pakar Puteri,” katanya ditemui di kediaman bapanya itu, di Flat Sri Stulang, Johor.

Terdahulu majlis bacaan Yasin dan tahlil diadakan di kediaman itu selepas solat Zohor.

Abdul Rahim yang juga kakitangan keselamatan bagi Menteri Besar Negeri Sembilan, berkata arwah bapanya adalah pemain skuad Piala Thomas 1967.

“Saya masih ingat, ketika itu pasukan negara menjuarai kejohanan di Istora Sendayan, Jakarta, Indonesia. Antara pemain ketika itu adalah Datuk Billy Ng,” katanya.

Berita berkaitan

Kenangan abadi [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 4:13 PM