DR NOOR Hisham bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO BERNAMA
DR NOOR Hisham bercakap ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


LAPAN pakar perubatan dari China yang tiba di Malaysia untuk berkongsi kepakaran mereka mengenai pandemik Covid-19 adalah negatif jangkitan berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan pasukan dari Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China itu sudah melalui ujian saringan di negara berkenaan dan di Malaysia.

Malah, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memantau pergerakan mereka sepanjang tempoh berada di negara ini.

“Pergerakan mereka terkawal oleh KKM. Kita tahu di mana mereka (berada).

“Mereka tiada gejala langsung dan saringan dilakukan perlu melihat kepada gejala. Mereka juga tiada kontak rapat dengan kes positif Covid-19,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, timbul persoalan dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai proses kuarantin yang mungkin tidak dititik berat ke atas lapan pakar perubatan itu dan turut menyuarakan kebimbangan akan berlaku jangkitan baharu disebabkan kehadiran mereka.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, bukan hanya perbincangan dilakukan sebaliknya KKM turut mendapatkan perkongsian pengalaman mereka menangani wabak di China.

“Kita mendapatkan pengalaman dan langkah pencegahan yang mereka laksanakan yang kita dapat belajar.

“Tindakan mereka yang tidak berjaya juga kita belajar bersama. Perbincangan masih dijalankan bersama,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lapan pakar perubatan itu tiba di Malaysia pada Sabtu lalu dan akan berada di negara ini selama dua minggu untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam memerangi Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 6:23 PM