Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


"PERUBATAN tradisional dan ubat Cina bukan rawatan kepada jangkitan Covid-19 tetapi hanya komplimentari," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, rawatan tradisional seperti dicadangkan oleh pakar perubatan Covid-19 dari China itu adalah sebagai rawatan komplimentari untuk penyembuhan yang lebih baik.

"Memang Covid-19 tiada rawatan lagi tetapi apa mereka cadangkan adalah cara (rawatan) contohnya penggunaan akupuntur dan pengambilan herba.

"Mungkin ia boleh membantu mempercepatkan kesembuhan dan rawatan," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang dilaporkan berkata, pakar perubatan Covid-19 dari China mencadangkan menggunakan ubat tradisional Cina sebagai sebahagian cara rawatan ke atas pesakit.

Beliau berkata, China memaklumkan mengambil pendekatan rawatan dengan menggabungkan ubat tradisional Cina serta ubat dari Barat untuk pesakit di China.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, satu mesyuarat antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pakar perubatan China akan diadakan esok bagi membincangkan secara terperinci mengenai tindakan dan pengalaman rawatan ke atas pesakit Covid-19 di negara berkenaan.

Beliau berkata, lawatan lapan pakar perunding perubatan China di Malaysia ketika ini memberi manfaat kepada KKM dari segi perawatan dan makmal.

"Mereka dapat membantu kita dari segi pengalaman mengendalikan kes contoh tindakan dalam kesihatan awam dan juga penggunaan ubat-ubatan.

"Sekurang-kurangnya mereka memberi keyakinan kepada kita tindakan yang berkesan dan juga kelemahan mereka yang dapat kita belajar serta cuba dielakkan untuk kita mengulangi kelemahan yang sedia ada dalam sistem itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 6:03 PM