Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan


KEHADIRAN lapan pakar perunding perubatan dari China bukan untuk merawat pesakit Covid-19 di negara ini tetapi berkongsi pengalaman dan penyelidikan mengenai virus baharu itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengalaman mereka selama dua bulan menangani pandemik Covid-19 di wilayah Hubei, China diharap membantu Malaysia dalam usaha mengekang penularan pandemik itu di negara ini.

“Kedatangan mereka untuk berbincang mengenai rawatan dan penyelidikan, bukan saja perkara positif tetapi mungkin ada perkara yang dilakukan mereka tidak berjaya buat kita belajar dan tidak mengulangi kesilapan sama.

“Dalam perbincangan ini, banyak isu kita bangkitkan mengenai kaedah rawatan pesakit di wad dan ICU (unit rawatan rapi) dan juga penyelidikan pengesanan dan teknik tertentu sama ada menggunakan antigen dan sebagainya,” katanya dalam sidang media harian mengenai Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya, hari ini.

DR Noor Hisham. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Noor Hisham. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Menurutnya, lapan pakar itu bukan datang membantu pasukan barisan hadapan merawat pesakit Covid-19 tetapi berkongsi maklumat mengenai virus baharu terbabit.

“Virus ini baharu dan masing-masing tiada pengalaman mengenainya, tidak kira sama ada perkara negatif atau positif, kedua-duanya penting untuk kita.

“Kalau berjaya, kita akan teruskan usaha guna kaedah itu dan jika tidak berjaya, kita belajar daripada pengalaman supaya jangan ulangi kaedah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, penting bagi pihaknya mengetahui dan menambah pengetahuan mengenai virus baharu itu terutama cara ia merebak.

Lapan pakar itu adalah dari Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China Cawangan Guandong.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 6:40 PM