ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan Operasi Nyahcemar dan Sanatasi Awam di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Wisma Persekutuan, Anak Bukit  bagi mencegah penularan Covid-19. FOTO Ahmad Hamid
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan Operasi Nyahcemar dan Sanatasi Awam di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Wisma Persekutuan, Anak Bukit bagi mencegah penularan Covid-19. FOTO Ahmad Hamid
Zuliaty Zulkiffli

DUA belas anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar melakukan proses nyah cemar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah di sini, hari ini.

Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, semburan nyah cemar itu antaranya membabitkan kaunter dan suis elektrik.

“Kami menggunakan 11 peratus cecair sodium hydroclorite untuk proses nyah cemar.

“Bancuhan juga perlu mengikut sukatan yang betul kerana jika terlebih sukatan atau tidak tepat, ia akan menyebabkan kesukaran bernafas, hakisan pada kulit dan mata,” katanya ditemui di lokasi.

Ahmad Naufal berkata, setakat ini, pihaknya sudah melakukan operasi nyah cemar di lebih 100 lokasi membabitkan pasar awam, lokap dan balai polis serta bangunan kerajaan.

Sementara itu, Pengarah JPN Kedah Yusman Hambali Ahmad berkata, sanitasi itu penting bagi memberi keyakinan kepada kakitangannya untuk menjalankan tugas.

“JPN Kedah tetap beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun hanya membabitkan orang ramai yang melakukan temujanji.

“Kami menghadkan jumlah yang ke kaunter iaitu hanya lima orang dan selebihnya menunggu di luar dengan melakukan penjarakan sosial.

“Kami menerima temujanji antara 40 hingga 50 individu setiap hari dan pertemuan dibuat mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut melakukan pemeriksan suhu badan terhadap kakitangan serta orang ramai yang hadir.

Yusman Hambali berkata, pada masa sama, kes yang diterima hanya membabitkan gantian kehilangan atau kerosakan Mykad.

“Kes daftar kelahiran pula diberi tempoh sehingga 90 hari untuk pendaftaran,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 2:16 PM