Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah melakukan operasi nyah cemar di dua lapangan terbang di Kedah, hari ini.

Ia membabitkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Alor Setar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, proses sanitasi di LTSAH dilakukan 20 anggota bomba diketuai Pakar Hazmat JBPM Kedah, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah.

“Kita menggunakan cecair ‘sodium hyperchlorite’ untuk proses sanitasi di sini (LTSAH) kerana ia menjadi tempat orang ramai berurusan.

“Setakat ini, JBPM Kedah sudah melakukan sanitasi awam di 99 lokasi termasuk pasar, sel lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis di negeri ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

PEKERJA membersihkan kerusi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim,Kepala Batas  bagi  mencegah penularan COVID-19. Negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang mungkin boleh menjadi di antara negeri pertama di negara ini yang diisytiharkan sebagai Negeri zon hijau Covid-19, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri  Dr.Noor Hisham Abdullah. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga negeri tersebut perlu bebas kes baru dalam tempoh dua minggu akan datang untuk melepasi 14 hari inkubasi. FOTO Amran Hamid

Katanya, proses sanitasi seterusnya akan dibuat di pejabat Lembaga Tabung Haji, Alor Setar dan Penjara Pokok Sena untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Pengurus LTSAH, Puteh Ramli berkata, pihaknya turut melakukan sanitasi harian untuk memastikan tahap kebersihan di kawasan lapangan terbang berkenaan.

“Kita akan cuci semua tempat yang selalu disentuh orang ramai termasuk di lif, kerusi dan troli, selain melakukan saringan kesihatan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 1:26 PM