GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


ALASAN untuk balik ke rumah abang kandung antara alasan yang diberi dua lelaki ketika ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kampung Chemumar di Arau, semalam.

Bagaimanapun, alasan yang diberikan kedua lelaki berusia 29 dan 44 tahun itu tidak munasabah apabila mereka turut membawa sebotol air ketum dan peralatan menghisap dadah di dalam bakul motosikal yang dinaiki mereka selain tidak membawa MyKad.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, dalam kejadian 10.30 malam itu, kedua mereka mendakwa baru pulang dari menangkap ikan di laut di perairan Kuala Perlis.

“Mereka mahu pulang ke rumah abang kandung suspek yang berusia 29 tahun memandangkan keduanya tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri.

“Tetapi alasan itu kelihatan mencurigakan kerana hasil pemeriksaan ke atas kedua suspek menemui sebotol besar air ketum di dalam bakul motosikal dan peralatan menghisap dadah yang disimpan di dalam sebuah beg sandang,” katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan di sekatan jalan raya di Jejawi, malam tadi.

Nanda berkata, pihaknya menahan mereka untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Peraturan 12(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan Peraturan 25(1)(n) Akta Pendaftaran Negara 1990.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 9:48 AM