ANGGOTA penguatkuasa MBAS mengangkat barangan milik peniaga yang ingkar dengan arahan PBT yang menjalankan perniagaan tidak dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Ihsan MBAS
ANGGOTA penguatkuasa MBAS mengangkat barangan milik peniaga yang ingkar dengan arahan PBT yang menjalankan perniagaan tidak dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Ihsan MBAS
Zuliaty Zulkiffli


TINDAKAN degil lapan penjaja di Bandaraya Alor Setar kerana tidak mematuhi arahan mengundang padah apabila dikenakan kompaun dan peralatan perniagaan mereka disita, hari ini.

Dalam operasi pada 10 pagi, anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengeluarkan lapan kompaun dan tiga sitaan terhadap peniaga di Simpang Empat dan Taman Berjaya.

Ketua Bahagian Penguatkuasa MBAS, Ahmad Syaher Abu Bakar berkata, enam penjaja ikan dan buah di Taman Berjaya dikenakan tindakan kerana menjalankan perniagaan yang tidak dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menurutnya, pihaknya turut menyita peralatan dua penjaja buah dan ikan untuk tindakan lanjut dengan enam kompaun dikeluarkan atas kesalahan ingkar notis di bawah Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Dua notis kompaun dikeluarkan kepada tiga penjaja di Simpang Empat, dan satu sitaan dilakukan terhadap penjaja ikan kerana tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP ini.

“Pemantauan sudah beberapa kali dilakukan selain notis amaran turut diberi kepada penjaja terbabit kerana tidak menjaga penjarakan sosial yang menyebabkan mereka berhimpun,” katanya.

Katanya, keadaan itu sekali gus boleh mengundang bahaya kepada jangkitan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 3:01 PM