GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


POLIS menahan 11 individu termasuk enam wanita selepas dipercayai terbabit dengan parti liar dan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam dua serbuan di dua apartmen di Johor Bahru, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan 12.15 tengah malam itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan individu warga tempatan berusia 17 hingga 28 tahun.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas dadah disyaki jenis ketamine dengan anggaran berat 20.40 gram.

"Hasil saringan mendapati lima lelaki dan lima wanita positif ketamine dan methamphetamine, selain semakan rekod mendapati dua lelaki dan tiga wanita mempunyai rekod lampau berkait jenayah dadah.

"Daripada jumlah itu, tujuh suspek disiasat mengikut Seksyen 39A (1), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2), Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Manakala, suspek positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a), Akta Dadah Berbahaya 1952. Semua suspek turut didakwa mengikut Peraturan 11 Perintah Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayob Khan berkata, semua suspek direman selama dua hari bermula hari ini sehingga 17 April untuk siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya, Akta Racun 1952 dan Perintah Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

"Hasil serbuan dan tangkapan ini menunjukkan ada lagi sebilangan masyarakat masih degil, mementingkan diri sendiri dan sengaja melanggar PKP dikeluarkan kerajaan.

"Sehubungan itu, sekali lagi polis Johor ingin menegaskan kepada orang ramai supaya mematuhi PKP dengan berada di rumah dan dilarang menganjur sebarang pesta atau keramaian, selain tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang tidak mematuhi PKP ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 7:46 PM