ANGGOTA polis membuat pemeriksaan ke atas kenderaan awam. FOTO arkib NSTP
ANGGOTA polis membuat pemeriksaan ke atas kenderaan awam. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan dan Raja Noraina Raja Rahim


KEJAYAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dan dua menunjukkan hasil memberangsangkan apabila kes baru yang dicatatkan hari ini merekodkan 85 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu berkurangan kepada 85 kes adalah hasil PKP satu dan dua.

“Bagaimanapun, kita nampak dua tiga hari lepas pertambahan kes baharu berikutan kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan pengesanan kes aktif.

“Ini bukan kegagalan tetapi satu kejayaan apabila kita masuk ke kawasan disyaki lokaliti panas selepas kes naik mendadak dan melakukan pengesanan seterusnya menyaring, isolasi dan beri rawatan kepada mereka yang positif.

“Apabila kita berjaya mengesan kes positif bermakna ada pertambahan kes, jadi ini bukan kes sporadik tetapi pengesanan kes aktif yang kita jangka akan ada pertambahan tetapi tidak banyak sekitar 160 hingga 200 kes,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Menurutnya, Malaysia belum tiba tahap kes baharu meningkat mendadak sehingga 300 kes sehari.

“Alhamdulillah hari ini kita lihat kes turun kepada 85 sahaja.

“Selain itu, laporan yang kami terima daripada negeri juga kes berkurangan terutama Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

“Disebabkan itu tumpuan kita sekarang kepada kawasan di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan orang ramai melakukan sanitasi di rumah mengikut garis panduan agensi kesihatan itu.


“Kalau di tempat awam, pihak berkuasa tempatan atau majlis daerah akan lakukan, tetapi kalau di rumah perlu tuan rumah sanitasi.

“Kita ada sediakan garis panduan dan bahan kimia apa perlu digunakan, boleh ikut langkah berkenaan terutama tempat yang kerap dipegang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 7:20 PM