GAMBAR hiasan. FOTO Akrib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Akrib NSTP
Shamran Sarahan dan Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


SARINGAN ujian swab (calitan) Covid-19 akan dijalankan seperti biasa meskipun kini kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengenal pasti sembilan kumpulan sasar yang perlu menjalankan saringan.

"Kalau kita lihat di makmal ada kurang sedikit, iaitu kita melaksanakan lebih kurang 27,000. Ini kerana sampel yang dihantar tidak sempat dilapor pada hari ini.

"Setiap kumpulan yang kita masukkan, contohnya warga emas, ada pertambahan kes dan pertambahan pusat juga.

"Jadi saringan masih dijalankan seperti biasa. Kadarnya seperti kita jangkakan dan unjurannya menunjukkan semakin berkurangan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi bukan warga tempatan, kementerian sudah pun mengambil tindakan mengasingkan mereka dan mengenal pasti kes yang positif.

"Sampel yang kedua yang kita dapat tiga angka ialah sampel yang telah kita asingkan.

"Jadi kes di depoh tahanan sudah pun kita selesaikan dan apa yang pasti kita akan meningkatkan pengawasan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, ketika ini negara berada pada fasa pemulihan dan pemantauan situasi selepas pembukaan banyak sektor.

Menurutnya, jika semua pihak dapat memastikan normal baharu yang dipraktikkan sebelum ini berterusan, keseimbangan kes akan dapat dicapai.

"Kita perlu melihat pengawasan di hospital, komuniti untuk kita pastikan tiada peningkatan kes secara mendadak walaupun kita buka sektor ekonomi, sosial dan pendidikan. Pemantauan adalah paling penting ketika ini," katanya.

Katanya, apa yang akan dilakukan ialah memperkasakan pematuhan orang ramai mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan membantu seperti apa ditunjukkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 6:18 PM