Saipul Adli Mohamad dan Sri Ayu Kartika Amri dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) meramalkan kes jangkitan Covid-19 dapat diturunkan sehingga satu angka jika prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya yakin jangkitan dapat dikurangkan sekiranya langkah pematuhan SOP diambil.

"Namun jika SOP tidak dipatuhi, kes jangkitan akan meningkat secara mendadak.

"Lebih-lebih lagi pada musim perayaan ini," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.



Beliau berkata, kaedah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan pada 4 Mei lalu juga menunjukkan pengurangan kes.

Katanya, KKM sudah mengkaji dua kaedah berkenaan (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB) yang dilihat lebih efektif untuk kurangkan kes jangkitan.

"Kos PKPB malah lebih murah berbanding PKP dan kita tak nampak peningkatan mendadak selepas PKPB.

"Yang kita bimbang musim perayaan sebab berdasarkan data di luar negara, apabila musim perayaan, terdapat peningkatan kes mendadak.

"Oleh itu, kita mahu rakyat sama-sama bertanggungjawab elak kunjung-mengunjung atau menziarahi kubur," katanya.

DR NOOR Hisham semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
DR NOOR Hisham semasa sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 7:07 PM