MUFTI Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil. FOTO Hassan Omar
MUFTI Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


PENANGGUHAN aktiviti masjid dan surau di seluruh Melaka yang sepatutnya berakhir semalam, dilanjutkan hingga 28 April ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil dalam kenyataannya berkata, ia sejajar dengan lanjutan PKP yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mulai hari ini hingga 28 April ini.

“Saya selaku Pengerusi dan bagi pihak Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka ingin memaklumkan penangguhan semua aktiviti masjid dan surau di seluruh Melaka dilanjutkan hingga 28 April 2020 bersamaan 5 Ramadan atau mengikut apa-apa ketetapan diputuskan Kerajaan Malaysia dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, tiada solat Jumaat pada 17 April bersamaan 23 Syaaban dan 24 April bersamaan 1 Ramadan manakala solat sunat terawih tidak ditunaikan secara berjemaah di masjid dan surau, sebaliknya ditunaikan bersama-sama anggota keluarga di rumah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, pesakit Covid-19 diharuskan berbuka puasa apabila tidak mampu meneruskan ibadah berkenaan atau bergantung pada ubat yang mesti dimakan mengikut waktu ditetapkan.

Menurutnya, pesakit berkenaan diharuskan berbuka atas nasihat doktor jika ibadah itu boleh melambatkan kesembuhan atau memudaratkan mereka.

“Selain itu, pesakit dalam keadaan kritikal diharuskan tidak berpuasa, tetapi mereka yang tidak berpuasa harus menghormati Ramadan dengan menjaga adab tertentu.

“Pesakit tidak berpuasa disarankan melakukan ibadah sunat seperti mendirikan solat sunat tarawih, mengaji al-Quran, berselawat, berdoa, bersedekah dan seumpamanya.

“Ibadah puasa yang ditinggalkan hendaklah digantikan apabila mereka sudah sihat mengikut bilangan hari puasa ditinggalkan,” katanya.

Beliau berkata, petugas barisan hadapan dan kakitangan Jabatan Kesihatan yang menangani penularan wabak berkenaan diharuskan berbuka apabila tidak mampu melaksanakan puasa atau dikhuatiri jika meneruskan puasa, akan menjejaskan fokus dan kemampuan untuk merawat pesakit.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 3:24 PM