Rafiqah Dahali


MAJLIS Fatwa Negeri Sabah mengumumkan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid serta surau berikutan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 29 April hingga 12 Mei ini.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, berkata pihaknya mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan semua aspek dan mengambil maklum mengenai pelanjutan tempoh PKP terbabit.

"Selepas mengambil kira asas syarak dan maqasid syariah demi kemaslahatan dan kebaikan umat Islam, Majlis Fatwa Negeri Sabah bersetuju memutuskan bahawa arahan penangguhan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid serta surau dilanjutkan tempohnya sehingga 12 Mei ini.

"Keputusan ini juga akan membabitkan penangguhan solat Jumaat pada 1 Mei dan 8 Mei ini. Ahli kariah wajib solat fardu zohor pada hari Jumaat berkenaan dan solat fardu di rumah atau kediaman masing-masing sepanjang tempoh itu.

"Umat Islam di Sabah dikehendaki merujuk garis panduan yang pernah dikeluarkan sebelum ini iaitu "Irsyad Mengenai Garis Panduan Masjid dan Surau Sepanjang Tempoh Penangguhan Solat Jumaat, Berjemaah dan Aktivitinya", garis panduan lain yang dikeluarkan oleh pihak berwajib dan saranan serta garis panduan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menjelaskan panduan hukum berpuasa bagi individu yang menjalani saringan perubatan Covid-19 serta pesakit tidak bergejala sepanjang bulan Ramadan ini.

"Prosedur saringan bagi mengesan penyakit Covid-19 adalah dengan mengambil sampel lendir (mukus) yang berada di dalam hidung sehingga ke kawasan rongga hidung paling atas dan rongga mulut hingga ke kawasan anak tekak adalah tidak membatalkan puasa.

"Bagi pesakit positif Covid-19 yang tidak bergejala dan tidak perlu mengambil ubat diwajibkan untuk berpuasa namun sekiranya tidak mampu yang boleh memudaratkan kesihatan (atas nasihat pakar perubatan), mereka diharuskan untuk tidak berpuasa.

"Walau bagaimanapun mereka wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan setelah berakhirnya bulan Ramadan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan," katanya.

Bungsu juga berkata pesakit yang memerlukan pengambilan ubat-ubatan diharuskan untuk tidak berpuasa namun disarankan mematuhi panduan kaedah pelaksanaan ibadah pada bulan Ramadan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-2.

"Sementara itu bagi pesakit yang memerlukan bantuan peralatan pernafasan, tiada halangan untuk tidak berpuasa kerana ia adalah keuzuran dan rukhsah yang telah disepakati para fuqaha keseluruhannya.

"Namun puasa yang ditinggalkan tetap perlu digantikan setelah berakhirnya bulan Ramadan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 12:21 PM