PENDUDUK Kampung Pondo lebih bersantai di rumah susulan mayat yang ditemui tergantung berhampiran kediaman mereka disahkan positif Covid-19. FOTO JUWAN RIDUAN
PENDUDUK Kampung Pondo lebih bersantai di rumah susulan mayat yang ditemui tergantung berhampiran kediaman mereka disahkan positif Covid-19. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


PENDUDUK di Kampung Pondo, Pulau Gaya di sini, tidak keluar rumah susulan mayat lelaki yang ditemui tergantung di pokok di kampung itu pada 6 April lalu, disahkan positif Covid-19.

Tinjauan mendapati penduduk yang tinggal berhampiran lokasi mayat ditemukan berada dalam rumah bersama ahli keluarga masing-masing.

Seorang penduduk, Rodey Toleh, 32, berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, lima beranak jarang keluar kecuali membeli makanan.

“Apabila mendapat tahu mayat ditemukan tergantung tempoh hari disahkan positif Covid-19. Kami dan jiran mengambil langkah berjaga-jaga kerana khuatir dijangkiti wabak itu,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi penduduk, Jamali Husan, 40, berkata dia dan keluarga juga tidak berani keluar rumah kerana bimbang diambil tindakan jika melanggar PKP.

“Selepas berita lelaki ditemukan mati tergantung itu positif Covid-19, kami lagi bimbang dan tidak berani keluar rumah jika tidak ada urusan penting,” katanya.

Dalam kejadian 8.26 pagi, 6 April lalu, seorang lelaki tanpa identiti dipercayai warga asing, ditemukan tergantung di pokok di kampung itu.

Mayat yang dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat itu kemudiannya disahkan positif Covid-19 pada Sabtu lalu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, seramai 12 anggota polis yang melaksanakan tugas menyiasat termasuk mengangkat mayat terbabit diarah untuk kuarantin diri di rumah masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 5:55 PM