Anggota polis mengusung mayat yang ditemui tergantung di pokok. FOTO Juwan Riduan
Anggota polis mengusung mayat yang ditemui tergantung di pokok. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


MAYAT lelaki tanpa identiti dipercayai warga asing ditemui tergantung di pokok di kawasan Kampung Pondo, Pulau Gaya, di Kota Kinabalu, pagi tadi.

Mayat lelaki itu ditemui penduduk kampung di kawasan bukit di kampung berkenaan sebelum menghubungi pihak polis pada 8.11 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Balai Polis Pulau Gaya bergegas ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki ditemui tergantung pada pokok dengan lengkap berpakaian.

“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati tiada pengenalan diri ditemui dan si mati dipercayai warga asing berdasarkan tiada suntikan BCG,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk bedah siasat.

“Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ketua Balai Polis Pulau Gaya Asisten Superintendan (ASP) Mohd Zulfikar Abd Salam di talian 0198009455.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 7:50 PM