PENUNTUT POLISAS Semambu menerima sumbangan buah dan sayur daripada FAMA Pahang. FOTO Mohd Rafi Mamat
PENUNTUT POLISAS Semambu menerima sumbangan buah dan sayur daripada FAMA Pahang. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


POLITEKNIK Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Semambu, Kuantan menerima 300 kilogram (kg) pelbagai buah dan sayur disumbangkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, kelmarin.

Pengarah POLISAS Mohamad Isa Azhari berkata, hasil pertanian segar itu diserahkan kepada pengusaha cafe yang bertanggungjawab menyediakan hidangan kepada 125 penuntut yang kini tinggal di asrama.

Menurutnya, sebahagian buah dan sayur sumbangan FAMA Pahang bernilai kira-kira RM1,500 itu turut diagihkan kepada kakitangan serta felo yang tinggal dalam kawasan kampus bagi meringankan beban mereka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19.

Katanya, sebelum ini pihaknya turut menerima pelbagai sumbangan daripada Ahli Parlimen Indera Mahkota, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khusus untuk penuntut yang tidak berpeluang pulang ke kampung.

“Bantuan yang diterima memberi lebih keselesaan kepada penuntut yang kini terpaksa berada di asrama dalam tempuh panjang berikutan PKP sejak 18 Mac lalu. Pelbagai makanan seperti biskut, bubur nasi, roti dan susuditerima penuntut.

“Saya bagi pihak POLISAS mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang prihatin dengan kesulitan dihadapi penuntut yang berada di asrama termasuk 131 lagi di rumah sewa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini menyediakan kemudahan makanan tiga kali sehari kepada penuntut.

Mohamad Isa berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan penuntut yang berada di asrama dan rumah sewa bagi memastikan mereka tidak terlalu tertekan berikutan PKP yang panjang dan mereka tidak pulang ke kampung berjumpa keluarga.

“Saya menasihatkan kepada ibu bapa supaya tidak terlalu bimbang tentang anak mereka kerana kebajikan penuntut sentiasa diberi keutamaan, pelbagai kemudahan diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 1:30 PM