Raja Noraina Raja Rahim


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa ketiga Rabu ini, bakal menyaksikan sektor perkhidmatan tertentu boleh beroperasi semula secara berperingkat.

Bagaimanapun hanya sektor tertentu saja dibenarkan operasi dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjawab beberapa persoalan orang ramai berhubung pelaksanaan itu.

Berikut jawapan MITI:

1. Apakah sektor tambahan dibenarkan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh PKP?

Hanya sektor ekonomi tambahan terpilih saja dibenarkan beroperasi tertakluk kepada kelulusan dan protokol kesihatan serta keselamatan.

Antaranya industri automotif, mesin dan peralatan, aeroangkasa, projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan, perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional berdaftar, perkhidmatan kedai ‘hardware’, barangan elektrik dan elektronik serta perkhidmatan dobi (bukan layan diri).

2. Bolehkah syarikat di dalam sektor tidak tersenarai beroperasi sepanjang tempoh PKP?

Tidak. Hanya syarikat di dalam sektor disenaraikan dibenarkan operasi tertakluk kepada permohonan dan protokol kesihatan serta keselamatan.

3. Perlukah syarikat membuat permohonan untuk mendapatkan kelulusan sekiranya dikategorikan dalam senarai sektor terpilih?

Ya, syarikat perlu membuat permohonan di Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 2.0 melalui pautan laman sesawang https://application.miti.gov.my bermula jam 9 pagi hari ini.

4. Berapa lama tempoh bagi memproses permohonan beroperasi dan bagaimana surat kelulusan diberikan kepada syarikat?

Pemprosesan akan mengambil masa lima hari. Surat kelulusan akan dikeluarkan oleh CIMS 2.0. Syarikat disarankan menyemak status permohonan di sistem berkenaan dari semasa ke semasa dan dibenar memulakan operasi selepas mendapat surat kelulusan.

5. Sekiranya mendapat kelulusan MITI untuk operasi sepanjang tempoh PKP, perlukah mengemukakan semula permohonan?

Sistem baharu akan mengeluarkan surat kelulusan dengan kod QR yang memudahcara pergerakan pekerja dan operasi syarikat. Semua syarikat yang mendapat kelulusan disaran untuk mengemukakan semula permohonan di CIMS 2.0.

6. Sekiranya mendapat kelulusan MITI untuk operasi sewaktu PKP tetapi ingin menambah kapasiti tenaga kerja, bolehkah mengemukakan semula permohonan?

Boleh, semua syarikat mendapat kelulusan MITI boleh mengemukakan semula permohonan di CIMS 2.0 bagi penambahan kapasiti tenaga kerja.

7. Sekiranya permohonan ditolak, bolehkah membuat rayuan?

Ya, rayuan boleh dibuat melalui CIMS 2.0 di laman sesawang https://application.miti.gov.my.

8. Perlukah mengemukakan senarai pembekal dan maklumat sulit lain kepada MITI atau Persatuan?

Senarai pembekal dan maklumat sulit lain hanya perlu dikemukakan kepada MITI melalui CIMS 2.0.

9. Sekiranya syarikat berada di kawasan warta merah, bolehkah syarikat dipertimbangkan untuk beroperasi?

Premis perniagaan yang berada di kawasan warta merah tertakluk kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

10. Bolehkah syarikat mendapatkan perkhidmatan daripada pembekal produk atau perkhidmatan seperti penyelenggaraan mesin, alat ganti yang tidak dikategorikan?

Boleh, tertakluk kepada protokol kesihatan dan keselamatan. Pembekal produk atau perkhidmatan diwajibkan membuat permohonan melalui CIMS 2.0.

11. Sekiranya syarikat yang diluluskan untuk beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP melanggar syarat beroperasi, adakah syarikat akan dikenakan denda atau penalti selain daripada ditarik balik kelulusan diberi?

Ya, ia satu kesalahan jenayah di bawah Peraturan 7 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau keduanya sekali. Syarikat juga boleh dikenakan tindakan tertakluk kepada undang-undang, peraturan, atau undang-undang kecil berkaitan dengan bidang perniagaan.

12. Bolehkah syarikat memenuhi kesemua permintaan dan keperluan produk keluaran atau perkhidmatan bagi pasaran eksport?

Ya, syarikat yang dibenarkan beroperasi boleh memenuhi permintaan dan keperluan produk keluaran atau perkhidmatan bagi pasaran eksport.

13. Perlukah pembekal perkhidmatan utama termasuk pembekal, kontraktor, syarikat pengangkutan dan lain-lain mengemukakan permohonan berasingan?

Ya, perlu. Bagaimanapun pembekal perkhidmatan dalaman tidak perlu mengemukakan permohonan.

14. Syarikat memperoleh surat kelulusan beroperasi. Bagaimanapun, syarikat tidak dibenarkan beroperasi oleh pihak berkuasa dan pekerja tidak dibenarkan bergerak atau ditahan pihak berkuasa dalam perjalanan ke premis syarikat. Apakah yang boleh dilakukan?

Senarai syarikat yang diluluskan beroperasi akan dibekalkan kepada MKN, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan penguatkuasaan. Syarikat atau pekerja perlu mengemukakan surat kelulusan untuk memudah cara proses semakan dalam sistem oleh pihak berkuasa.

15. Bolehkah trak logistik beroperasi 24 jam atas jalan raya untuk memberikan perkhidmatan logistik kepada pelanggan domestik?

Waktu operasi adalah tertakluk kepada arahan Kementerian Pengangkutan.

16. Syarikat dibenarkan beroperasi tetapi syarikat pembekal tidak dibenarkan beroperasi. Bolehkah lori syarikat bergerak ke kilang pembekal untuk mengambil bahan diperlukan untuk meneruskan aktiviti pembuatan?

Ya, boleh dengan syarat lori syarikat membawa bersama salinan surat kelulusan MITI untuk memudahcara pergerakan.

17. Adakah aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) hanya di makmal komersial atau juga termasuk R&D dalaman?

Ya, dibenarkan untuk kedua-duanya sekali.

18. Perlukah kontraktor yang menjalankan kerja pembinaan, pengubahsuaian atau pemasangan mesin membuat permohonan?

Ya, syarikat kontraktor perlu mengemukakan permohonan secara berasingan melalui CIMS 2.0.

19. Adakah 'perkhidmatan selepas jualan' terhad kepada perkhidmatan pelanggan domestik?

Ya, terhad kepada dalam negara sahaja.

20. Adakah 'perkhidmatan selepas jualan' termasuk pusat alat ganti dan bengkel penyelenggaraan yang dijalankan oleh pengusaha individu atau syarikat pengeluar dan pengedar?

Ya, perkhidmatan selepas jualan merujuk kepada operasi penyelenggaraan dan perkhidmatan bagi kenderaan dalam negara sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 7:48 PM