GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Firma setiausaha syarikat kini dibenarkan beroperasi dalam Fasa Satu dan Fasa Dua mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan tertakluk kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Dalam kenyataan pada hari ini, SSM menjelaskan ia susulan pengumuman kerajaan baru-baru ini bahawa syarikat perkhidmatan profesional dan perundingan dibenarkan beroperasi semasa PPN, tertakluk kepada syarat kelulusan pihak berkuasa yang mengawal selia perkhidmatan tersebut.

"Lanjutan pengumuman tersebut, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bersetuju menyenaraikan perkhidmatan setiausaha syarikat di bawah perkhidmatan profesional dan perundingan, seterusnya membenarkan firma setiausaha syarikat untuk mengemukakan permohonan beroperasi kepada Miti bagi tujuan menjalankan perkhidmatan kesetiausahaan," jelasnya.

SSM sebagai badan yang mengawal selia setiausaha syarikat di bawah Akta Syarikat 2016 diberi tanggungjawab sebagai badan pelulus bagi permohonan kebenaran beroperasi yang dikemukakan oleh firma setiausaha syarikat.

Justeru, ahli kepada badan-badan profesional yang diluluskan di bawah Jadual Keempat Akta Syarikat 2016 boleh mengemukakan permohonan bagi firma kesetiausahaan masing-masing sekiranya berhasrat untuk memulakan operasi di premis perniagaan masing-masing.

Permohonan boleh dihantar melalui Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) yang dikendalikan oleh Miti di laman https://notification.miti.gov.my/login.

Panduan mengenai permohonan disediakan oleh Miti melalui portal https://www.miti.gov.my/redir/ppn/cims.html.

Firma setiausaha syarikat yang memperoleh kelulusan beroperasi dalam Fasa Satu dan Fasa Dua mengikut PPN dinasihatkan supaya mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Miti dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa bagi mengekang penyebaran Covid-19.

SSM berharap dengan pembukaan semula sektor ini, firma setiausaha syarikat dapat terus memainkan peranan dalam menyokong sektor korporat terutama melibatkan perusahaan kecil dan sederhana untuk menghidupkan kembali ekonomi negara.

Sila rujuk soalan lazim di portal rasmi SSM di www.ssm.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, sila hubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau e-mel kepada [email protected] atau [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 1:15 PM