INDIVIDU yang ditahan mengadakan parti liar. FOTO Ihsan Polis
INDIVIDU yang ditahan mengadakan parti liar. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TUJUH individu berkongsi wang menyewa kondominium mewah bagi mengadakan parti liar di Jalan Sungai Besi di Kuala Lumpur, semalam.

Individu terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita, termasuk dua warga asing berusia 20 hingga 45 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang melakukan serbuan di kondominium terbabit pada 1.52 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, serbuan berkenaan berjaya merampas pelbagai jenis dadah, antaranya syabu seberat 10.3 gram, ketamin seberat 4.1 gram dan ganja.

“Hasil saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati semua mereka positif dadah.

“Siasatan mendapat seorang daripada individu yang ditahan itu adalah penganjur dan menjemput individu lain melalui aplikasi Whatsapp,” katanya.

Zairulnizam berkata, individu yang ditahan itu didapati berkongsi wang bagi membayar sewa kondominium itu dengan bayaran RM350 seorang.

“Tempahan sewa kondominium dilakukan melalui panggilan telefon dan pembayaran dilakukan menggunakan perbankan dalam talian.

“Semua individu berkenaan ditahan di lokap Jinjang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 1:03 AM