FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Seorang pengusaha kolam ikan keli dan empat lelaki warga Indonesia ditahan berhubung pencemaran sungai yang menyebabkan bekalan air di 1,274 kawasan di Selangor terjejas pada 7 Disember lalu.

Lelaki berusia 50 tahun dan empat lagi suspek berusia antara 28 hingga 47 tahun yang juga pekerja di kolam ikan keli berkenaan ditahan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, kira-kira jam 9.30 malam, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pencemaran disyaki berpunca daripada pelepasan air dari kolam ikan keli yang diusahakan oleh suspek di Serendah.

"Suspek yang juga pemilik kolam dipercayai menjalankan operasi penternakan ikan keli tanpa lesen di situ sejak tiga tahun lalu.

"Perintah reman ke atas semua suspek dibenarkan selama satu hari sehingga hari ini dan permohonan sambungan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Hulu Selangor, hari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Pada 7 Disember lalu, sebanyak 1,274 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langatmengalami gangguan bekalan air.

Gangguan bekalan air berlaku susulan Loji Rawatan Air Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang dihenti tugas selepas pencemaran air sumber mentah dikesan di Sungai Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 12:37 PM