BANTUAN bekalan makanan diagihkan kerajaan Sarawak kepada penduduk yang terjejas ekoran PKP. FOTO JPBN
BANTUAN bekalan makanan diagihkan kerajaan Sarawak kepada penduduk yang terjejas ekoran PKP. FOTO JPBN
Mohd Roji Kawi

SEJUMLAH 324,224 atau 91 peratus daripada 349,449 ketua isi rumah serta individu yang berdaftar dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di Sarawak, sudah menerima bantuan bekalan makanan yang disalurkan kerajaan negeri.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, jumlah itu meliputi 63 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, ketika ini usaha sedang giat dilaksanakan untuk menyelesaikan pengagihan bantuan bekalan makanan di 19 lagi kawasan DUN dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

“Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, sentiasa menekankan bahawa mereka yang terjejas akibat PKP perlu segera dibantu dengan bantuan bekalan makanan.

“Kami berusaha memastikan mereka yang layak di semua 82 kawasan DUN khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, miskin bandar dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan ekoran PKP harus menerima bantuan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengagihan bantuan bekalan makanan kepada kumpulan sasar dilakukan melalui darat, sungai dan pengangkutan udara.

BANTUAN bekalan makanan diagihkan kepada penduduk. FOTO JPBN
BANTUAN bekalan makanan diagihkan kepada penduduk. FOTO JPBN

“Untuk kawasan luar bandar dan pedalaman seperti Telang Usan, Murum, Mulu, Batang Ai, Meluan, Pakan, Engkilili dan Balai Ringin, yang tidak dapat dijangkau melalui jalan darat, kerajaan Sarawak mendapat bantuan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Hornbill Skyways.

“Sejumlah 41,859 kilogram bekalan makanan untuk 2,933 KIR dihantar menggunakan helikopter dalam misi yang dilaksanakan pada 5 April hingga 11 April lalu,” katanya.

Katanya lagi, bantuan yang disediakan kerajaan negeri itu disalurkan ke semua kawasan DUN termasuk yang diwakili pembangkang.

“Bantuan ini tidak harus dipolitikkan kerana kerajaan Sarawak menghulurkannya tanpa mengira parti mana yang mewakili sesuatu kawasan itu,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 5:59 PM