GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Saufi Hassan


GANGGUAN liputan rangkaian 4G LTE antara masalah yang sering dihadapi pengguna sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak pertengahan bulan lalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam satu jawapan balas kepada Harian Metro menyatakan bahawa pihaknya menerima aduan berkaitan masalah rangkaian.

“Berdasarkan kepada perangkaan yang diterima, kategori aduan terbahagi kepada tiga iaitu sambungan Internet atau kelajuan, liputan 4G tidak memuaskan dan gangguan perkhidmatan (Downtime).

“Sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac hingga awal April ini, SKMM menerima aduan paling tinggi membabitkan liputan 4G LTE yang tidak memuaskan dengan 1,016 kes.

“Bagi masalah gangguan perkhidmatan pula, SKMM menerima 299 aduan dan sambungan Internet atau kelajuan sebanyak 187 kes,” katanya menerusi kenyataan balas, hari ini.

Susulan itu, SKMM sudah memaklumkan kepada syarikat telekomunikasi yang terbabit mengenai masalah berkenaan dan pelbagai langkah mitigasi sedang giat diambil bagi memastikan situasi sama tidak berulang.

“Antara contoh tindakan yang diambil oleh pihak pemberi perkhidmatan adalah pengoptimuman rangkaian dan meningkatkan kapasiti radio untuk stesen yang mengalami peningkatan pengguna.

“Selain itu, pihak pemberi perkhidmatan juga meningkatkan kapasiti rangkaian teras yang menghubungkan stesen pemancar dan untuk kawasan yang memerlukan liputan yang segera untuk menampung keperluan yang meningkat secara mendadak,” katanya.

Menurutnya, pihak penyedia perkhidmatan sudah memasang stesen pemancar mudah alih di kawasan yang terjejas dengan masalah berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:44 PM