GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati permintaan terhadap lebar jalur melonjak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan rakyat Malaysia kekal di rumah.

SKMM menerusi kenyataan hari ini berkata, pemberi perkhidmatan berdepan situasi peningkatan penggunaan yang tidak pernah dialami sebelum ini yang mana trend sama turut dirasai seluruh dunia.

Menurut kenyataan, pemberi perkhidmatan berusaha menambah kapasiti lebar jalur bagi memastikan penyampaian perkhidmatan penting berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Katanya, industri telekomunikasi kini sedang memperkukuhkan prestasi rangkaian masing-masing melalui pelaburan tambahan bernilai RM400 juta seperti diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) baru-baru ini.

“Antara dilakukan adalah mengoptimumkan rangkaian dan peningkatan kapasiti radio di kawasan mempunyai penggunaan tinggi, melaksanakan penyuraian penggunaan kapasiti rangkaian untuk memenuhi permintaan lebar jalur yang meningkat di kediaman.

“Mereka juga menaik taraf sambungan ‘backhaul’ tanpa wayar kepada sambungan gentian optik, meningkatkan kapasiti rangkaian utama domestik termasuk menyediakan infrastruktur gentian optik baharu, meningkatkan lebar jalur sambungtara dan menggunapakai kapasiti rizab serta meningkatkan kapasiti rangkaian antarabangsa.

“Selain itu, mereka menyediakan stesen pemancar mudah alih serta menyediakan akses Wi-Fi untuk menangani isu berkaitan trafik rangkaian di kawasan kritikal” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu turut memaklumkan SKMM bersama pemberi perkhidmatan internet dan telekomunikasi sedang bekerjasama memantau prestasi rangkaian dan memudah cara sebarang cabaran dihadapi termasuk membina infrastruktur tambahan serta menyelenggara tapak sedia ada dengan kelulusan pihak berkuasa.

SKMM yakin bahawa kesalinghubungan digital yang berdaya tahan bakal menanti rakyat Malaysia apabila semua inisiatif dirancang kerajaan dilaksanakan dengan hasil sokongan diberikan oleh pelbagai pihak berkepentingan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:05 PM