PRESIDEN Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika.
PRESIDEN Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika.
Yusmizal Dolah Aling


PENGURUSAN haiwan peliharaan juga sama seperti manusia dan ia perlu dipastikan berada pada tahap terbaik terutama ketika penularan wabak seperti Covid-19.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika berkata, aspek kebersihan harus menjadi keutamaan pemilik haiwan sama seperti sebelum pandemik melanda di seluruh dunia.

Katanya, antara yang perlu diberi perhatian ialah penyediaan makanan bersesuaian, tidak melebihi tempoh luput serta memastikan haiwan tidak membuang najis merata-rata di sekitar rumah.

“Ia sama seperti kita menguruskan diri sendiri juga kerana kita tergolong di dalam kumpulan mamalia. Apa yang perlu bersih kepada manusia, perlu juga bersih kepada haiwan peliharaan.

“Bagaimanapun, haiwan yang dipelihara secara tertutup tidak menjadi masalah. Risiko untuk dijangkiti virus menerusi apa cara yang mungkin kurang berbanding yang berada di luar.

“Di negara kita ramai pencinta haiwan terutamanya kucing dan anjing. Tidak kiralah sama ada yang kampung atau pun berbaka, kaedah pengurusannya adalah sama,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam yang meminta orang ramai membasuh tangan selepas memegang haiwan peliharaan.

Pada sidang media sebelum itu, beliau memaklumkan sekiranya haiwan itu dijangkiti Covid-19, ia juga boleh menjangkiti pemiliknya.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan dalam masa terdekat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 3:01 PM