MANGSA bot karam dibawa ke  Jabatan Forensik HRPB Ipoh. FOTO L Manimaran
MANGSA bot karam dibawa ke Jabatan Forensik HRPB Ipoh. FOTO L Manimaran
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Kesemua 14 mayat mangsa bot karam di perairan Sabak Bernam, dekat sini tiba di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, 8.20 malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain, semua mayat mangsa bot karam itu dibawa dari Balai Polis Hutan Melintang pada 6.30 petang dan selamat sampai pada 8.20 malam.

"Semua mayat iaitu 13 wanita dan seorang lelaki dibawa ke HRPB bagi proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

"Setakat ini 19 mangsa yang terselamat dan sebahagiannya dirawat di Hospital Teluk Intan dan operasi mencari dan menyelamat di Jeti Sungai Sumun, Hutan Melintang sudah diberhentikan sementara waktu pada 7 malam tadi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, wakil pihak Kedutaan Indonesia juga sudah melawat ke pusat operasi di Jeti Sungai Sumum petang tadi; bagaimanapun, buat masa ini polis masih belum memberikan akses sepenuhnya kepada wakil berkenaan kerana siasatan masih dijalankan.

Sementara itu, 14 mangsa yang terselamat dalam trajedi bot karam ditahan di lokap Balai Polis Hutan Melintang kerana dipercayai Pendatang Tanpa Izin (PATI).

Bagaimanapun satu-satunya wanita yang terselamat dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) dekat sini.

Wanita berusia 30-an itu yang mengalami kecederaan dan trauma dirawat di HTI.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 8:58 PM