YANG DiPertua Persatuan Perkhidmatan Kereta Sewa Simpang Renggam, Othman Ali Mohamad (dua dari kanan) dan Pegawai Khas Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Layang-Layang, Mohd Hafiz Abdul Shukor (dua dari kiri) menunjukkan barang-barang keperluan makanan asas yang disumbangkan kepada Persatuan Perkhidmatan Kereta Sewa Simpang Renggam. FOTO Adnan Ibrahim

Adnan Ibrahim

“SEJAK pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), nak dapat RM10 sehari pun susah,” keluh Yang Dipertua Persatuan Perkhidmatan Kereta Sewa Simpang Renggam, Othman Ali Mohamad.

Menurut Othman, keadaan itu menyebabkan pendapatan ahli terjejas teruk terutama kepada yang tiada sumber pendapatan lain.

Katanya, untuk mendapatkan seorang penumpang mereka terpaksa menunggu antara dua hingga tiga jam.

“Orang ramai tidak berani untuk keluar dari rumah dan kalau ada pun cuma untuk membuat urusan penting sahaja.

“Mujur kerajaan menyediakan Bantuan Perihatin Negara (BPN) yang secara langsung membantu mengurangkan beban kos sara hidup pemandu kereta sewa,” katanya.

Othman berkata demikian selepas menerima sumbangan bantuan bekalan makanan asas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Pejabat Umno Bahagian Simpang Renggam hari ini.

Menurut Othman, seramai 52 orang ahli persatuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang dan Machap menerima sumbangan secara pandu lalu oleh Pegawai Khas Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Layang-Layang, Mohd Hafiz Abdul Shukor.

“Mewakili semua ahli, kami amat berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan serta kepimpinan setempat yang memahami keluh kesah rakyat terkesan akibat wabak Covid-19 ini.

“Kami juga berterima kasih kepada barisan hadapan yang bertungkus lumus melakukan yang terbaik tanpa mengenal penat lelah demi memastikan wabak ini dapat dihentikan segera,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 1:30 PM