DATUK Onn Hafiz Ghazi (tengah) melawat kediaman yang menerima manfaat bekalan air bersih di Simpang Renggam Kluang Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
DATUK Onn Hafiz Ghazi (tengah) melawat kediaman yang menerima manfaat bekalan air bersih di Simpang Renggam Kluang Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Kira-kira 2,000 penduduk dari lima kampung di Simpang Renggam dekat sini, kini dapat menarik nafas lega selepas masalah bekalan air bersih yang kerap berlaku di kediaman mereka sudah berjaya diatasi.

Penduduk Kampung Bukit Nyamuk, Jamari Atan, 44, berkata lima kampung itu iaitu Kampung Bukit Nyamuk, Bukit Kenangan, Sumber Jaya, Batu 40 dan Kampung Pinggir sering kali berhadapan dengan masalah tekanan air rendah sehingga menyebabkan mereka terputus bekalan terutama sekali penempatan di tempat yang tinggi.

Katanya, masalah itu terlebih dahulu diadukan kepada pihak berkaitan termasuk kepimpinan masyarakat setempat sebelum pertemuan diadakan antara penduduk kampung, pihak SAJ Ranhill dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Hasil daripada pertemuan itu, terhasil cadangan untuk membina pam air berhampiran kampung kami sebagai usaha memastikan bekalan air tidak lagi berhadapan dengan masalah tekanan air rendah.

"Projek yang mula dibina pada Jun tahun lalu ini diharapkan dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah dihadapi penduduk dan ia sudah pasti memudahkan kami pada Ramadan dan Syawal nanti," katanya.

Jamari berkata demikian selepas meninjau tapak projek pembinaan pam air di Jalan Johor Bharu - Ayer Hitam di Simpang Renggam hari ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Nyamuk, Mohd Nazhir Ariffin, 43, berkata, pihaknya sudah lama menantikan masalah bekalan air di kawasan penempatan mereka diselesaikan segera.

Katanya, jika sebelum ini setiap kali penutupan bekalan air berlaku, lima perkampungan itu akan menjadikan tempat terakhir mendapat semula bekalan malah kadang-kadang memakan masa hampir dua atau tiga hari.

"Namun apabila pam air ini siap dibina, ia membolehkan air sampai ke rumah masing-masing dalam masa yang singkat jika penutupan bekalan berlaku selain tiada lagi berhadapan dengan masalah tekanan air rendah," katanya.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, pihaknya berterima kasih kepada SAJ Ranhill kerana prihatin dengan aduan penduduk setempat dan menyelesaikan masalah berkenaan dengan segera.

"Saya selaku wakil rakyat di sini mengucapkan terima kasih kepada SAJ Ranhill kerana bertungkus lumus memastikan isu bekalan air ini tidak berpanjangan dan dapat menyiapkan kerja kerja berkaitan dalam tempoh yang singkat.

"Ia berita gembira kepada penduduk setempat kerana mereka dapat menjalani hidup yang lebih baik lebih lebih lagi pada Ramadan kali ini dan Syawal yang bakal menjelma," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 12:27 PM