GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


RAKYAT diminta untuk menghargai jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus berusaha menangani penularan wabak Covid-19 sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ketika ini rakyat digesa untuk memberi sokongan kepada mereka dengan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan.

Titah baginda, sokongan terhadap barisan hadapan bukanlah sekadar slogan tertentu semata tetapi mestilah berusaha mematuhi arahan berkenaan sehingga mencapai objektif yang dikeluarkan mereka.

“Antara perkara penting yang boleh dilakukan oleh kita bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan adalah dengan berada di rumah bagi menghentikan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Seterusnya mereka boleh kembali kepada tugas sedia ada tanpa perlu bertungkus-lumus menyelesaikan tugasan berat ini dengan terhentinya penularan wabak berkenaan,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Arau, hari ini.

Pada titahnya, baginda turut menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada kakitangan sokongan di hospital seperti kakitangan keselamatan, pembersihan, pembantu kesihatan serta sukarelawan yang turun padang membantu petugas barisan hadapan.

“Maka itu, beta perkenankan inisiatif ke-10 daripada MAIPs (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis) iaitu dana sebanyak RM20,000 bagi pembelian tambahan peralatan dan pakej sokongan kepada petugas di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

“Melalui dana itu juga akan membabitkan tajaan Guru Tadika Islam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) untuk mendidik anak-anak petugas yang terpaksa ditinggalkan ketika melaksanakan tugasan mereka di hospital,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2020 @ 11:17 AM