Petugas Astana Negeri menghantar nasi briyani sumbangan Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri kepada anggota polis yang bertugas ketika operasi COVID-19. FOTO Ihsan UKAS
Petugas Astana Negeri menghantar nasi briyani sumbangan Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri kepada anggota polis yang bertugas ketika operasi COVID-19. FOTO Ihsan UKAS
Mohd Roji Kawi


YANG di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, menyumbangkan nasi briyani kepada anggota polis yang bertugas di barisan hadapan ketika operasi Covid-19 hari ini.

Sumbangan itu diserahkan Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Dipertua Negeri, Datuk Mustapa Han kepada Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Superintendan Ismail Mahmood.

Mustapa berkata, sumbangan sebagai tanda menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan.

“Astana Negeri Sarawak sedaya upaya meluaskan bantuan kepada semua petugas barisan hadapan sebagai menghargai kerja keras mereka dalam menangani penularan wabak Covid-19.

“Yang di-Dipertua Negeri dan isteri turut merakamkan ucapan terima kasih atas pengorbanan serta komitmen petugas barisan hadapan di Sarawak dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing serta berdoa agar penularan wabak ini berjaya ditangani dan diakhiri dengan segera,” katanya.

Sumbangan itu akan dinikmati 750 anggota polis yang bertugas membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya terharu dengan keprihatinan Abdul Taib dan isteri terhadap anggota polis yang bertungkus lumus sepanjang operasi.

“Saya percaya, sumbangan ini menaikkan lagi semangat semua pegawai dan anggota yang bertugas dalam tekanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 4:13 PM