RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. FOTO arkib NSTP
RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Ambillah iktibar daripada kesusahan dialami rakyat negara kita semasa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu. Adalah kita sanggup menghadapinya lagi?," titah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Raja Permaisuri Agong bertitah sempena Bulan Keluarga Kebangsaan 2020.

Melalui satu hantaran video di akaun Instagram (IG) Istana Negara, baginda menasihatkan rakyat Malaysia supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa bagi membantu memutuskan rantaian Covid-19.

"Kebimbangan terhadap penularan Covid-19 pasti bermain di minda setiap dari kita termasuk saya juga.

"Sebagai ibu dan isteri, keutamaan saya pastinya kepada keluarga saya namun sebagai permaisuri negara sudah tentu semua keluarga di Malaysia turut menjadi keutamaan dan perhatian saya.

"Bersempena bulan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan yang bertemakan 'Kita Jaga Keluarga', saya dan Tuanku Agong (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) mengambil kesempatan untuk berpesan kepada semua anak-anak serta ahli keluarga besar Malaysia untuk bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19.

"Marilah kita patuhi SOP yang telah ditetapkan pihak berkuasa," titah baginda.

Tunku Azizah turut meminta rakyat Malaysia supaya mengingati pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi Covid-19.

"Ingatlah pengorbanan barisan hadapan kita, para petugas kesihatan serta keselamatan. Mereka juga mempunyai keluarga seperti kita.

"Andai kita bersatu hati, Insya-Allah seluruh keluarga boleh berkumpul semula seperti sediakala.

"Justeru itu, nasihat saya sebagai ibu kepada seluruh keluarga Malaysia, kita jaga keluarga kita. Jika bukan kita siapa lagi?

"Bersama-samalah kita raikan keluarga sempena Bulan Keluarga Kebangsaan," titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 3:55 PM